Tuesday, 21 July 2015

Brilliant! Master Piece From A Thinker...Alhamdulillah





SIAPAKAH DALANG SEBENAR DI SEBALIK PENUBUHAN GERAKAN HARAPAN BARU?

Julai 2015 merupakan detik yang bersejarah bagi generasi yang lahir lewat 80-an hingga pertengahan 90-an.

Jika selama ini, setiap kali musim perayaan, kami hanya mendengar cerita daripada atuk-atuk serta ayah-ayah kami, kali ini kami berpeluang merasa sendiri pengalaman melalui sebuah perubahan lanskap politik negara secara besar-besaran.

Jika selama ini, mereka bercerita tentang British dan Jepun yang menjajah Tanah Melayu, kami hanya mampu dengar sahaja.

Jika selama ini mereka bercerita tentang perbezaan idealisme kemerdekaan antara Melayu-Raya dengan negara bangsa barasaskan sempadan geografi, kami hanya mampu dengar sahaja.

Jika selama ini mereka bercerita tentang pengunduran Tun Hussein Onn dari Umno disebabkan cubaan membentuk parti tanpa sempadan bangsa, kami hanya mampu dengar sahaja.

Jika selama ini mereka bercerita tentang pengasasan gerakan-gerakan Islam seperti IRC, Abim, Jim, Haluan, PAS, parti ini berpecah dengan parti itu, liciknya pemimpin ini, teruknya dizalimi pemimpin itu, kami hanya mampu dengar sahaja.

Kini tidak lagi. Gerakan Harapan Baru (GHB) yang terbentuk kali ini benar-benar berada di depan mata kami. Kami merasainya sendiri, mengkajinya sendiri, melihatnya sendiri. Inilah detik bersejarah yang bakal kami ceritakan kepada anak cucu kami kelak dengan penuh keyakinan, jika dibandingkan dengan cerita-cerita sebelah pihak daripada nenek dan ibu-ibu kami yang kami sendiri tidak dapat pastikan sejauh mana keabsahannya.

Kami lihat bagaimana berlakunya perubahan pendirian dalam kalangan senior kami yang dulunya sangat pesimis terhadap satu pihak, kini mula beransur terbuka. Bahkan kini kami masih melihat kelompok itu wujud nyata dalam generasi kami, paranoia tidak tentu hala, menunggu masa untuk bersikap lebih terbuka.

GHB yang ada di depan kami ini kami ikuti perkembangannya sejak dari mula. Hujahan pihak-pihak yang bersetuju dan tidak bersetuju kami dengar melalui rantaian maklumat premier. Sebahagian kami mendapat maklumat awal, sebahagian lagi masih terkejar-kejar dengan perkembangan yang berlaku. Sebahagian generasi kami sudah begitu yakin dengan pendirian mereka, sebahagian lagi masih bersikap "tunggu dan lihat".

Walau di pihak manapun kami sebelahi, kami adalah generasi yang hidup pada era ledakan maklumat. Kami mampu capai dan analisis lebih daripada sepuluh artikel berbeza pandangan dalam masa sehari. Kami lihat bagaimana sempitnya hidup beragama hinggakan kain hijau dan merah menjadi isu berat, songkok dan kopiah tidak boleh bertemu, janggut dan misai tidak pernah sehaluan, bukan Islam adalah najis, imam bendera merah menjadikan solat tidak sah, dan longgokan ayat-ayat Al-Quran yang dimanipulasi demi kepentingan politik.

Kami adalah generasi yang hidup pada zaman Dr. Asri Zainal Abidin menyedarkan kami beza antara hidup beragama dengan hidup bertuhan. Kami adalah generasi yang Dr. Zakir Naik menjadikan kami berani membuka helaian-helaian Bible tanpa merosakkan aqidah.

Kami adalah generasi yang Dr. Arifi sedarkan kami mengenai pertembungan global akhir zaman berdasarkan hadis-hadis fitan. Kami adalah generasi yang Rafizi Ramli sedarkan tentang kesan dan kepentingan kestabilan ekonomi negara. Kami adalah generasi yang Prof. Ahmad Ibrahim ajarkan bagaimana cara mendaulatkan syariah dalam sebuah negara berpelembagaan.

Kami adalah generasi yang Dr. Maszlee Malik kenalkan kami dengan formula politik tasarruf al-imam ‘ala ra’iyyah manutun bi al-maslahah, iaitu pentadbiran pemerintah mestilah berlandaskan kebaikan bagi masyarakat. Kami adalah generasi yang Ustaz Hasrizal Jamil sedarkan kami perbezaan berjuang untuk Islam dengan berjuang untuk parti dan Jemaah.

Kami adalah generasi yang ketika pemimpin tertinggi kami bertelagah, kami di bawah cuba merapatkan ukhuwwah. Kami adalah generasi ketika mana pemimpin nasional kami memutuskan hubungan diplomatik antara organisasi dan parti, kami pula bekerjasama menjayakan program-program di universiti.

Kami adalah generasi yang apabila kami melakukan program kesedaran beragama secara besar-besaran, kami jemput pelbagai gerakan Islam untuk santuni mad’u-mad’u ini agar diberikan tarbiyyah berasaskan usrah walaupun kami dari gerakan lain dan mereka dari gerakan lain. Kami adalah generasi yang berani mengkritik organisasi sendiri dan menerima kritikan orang luar terhadap organisasi kami.

Bukan itu sahaja, bahkan kami melihat generasi adik-adik kami lebih gemilang. Sesekali kami disoal mereka, adakah boleh mereka berkawan dengan pihak ini dan itu, gerakan ini dan itu. Kami kaku. Kaku memikirkan kisah-kisah buruk yang diceritakan senior-senior kami, dalam masa yang sama berat hati untuk menghasut mereka agar tidak bergaul setelah melihat kilauan mata mereka yang penuh dengan harapan. Harapan yang disebaliknya menyelubungi sekeping hati yang amat ingin hidup secara harmoni, berbeza pendapat secara sihat, dan tidak terikat dengan mainan persepsi.

Inilah generasi kami. Generasi yang sentiasa berharap dan akan terus berharap bagi generasi selepas kami. Kewujudan GHB ini hanyalah ‘kebetulan’ yang selari dengan harapan kami yang inginkan pembawakan Islam yang lebih inklusif dan progresif.

"Kebetulan" ini kami anggap sebagai peluang. Peluang untuk kami corakkan gerakan yang secocok dengan zaman kami. Kami tidak dibayar penentang GHB untuk melakukan kritikan murahan berbentuk serangan peribadi dan mainan persepsi sejarah yang tiada nilainya dalam dunia akademik.

Kami juga tidak ditaja GHB untuk mempromosi gerakan ini hanya semata-mata ingin taqlid kepada pimpinan pengasas GHB yang hebat-hebat. Tidak, kami tidak mahu buang masa untuk sesuatu yang tidak pasti. Tapi kami mahu habiskan masa kami untuk memastikan harapan baru ini membawa suara kami.

As-Siyadah lisy-Sya’ab : Ketuanan dipulangkan kepada masyarakat. Jika ini yang digalas GHB, maka kami selaku masyarakat yang amat mustahil bersepakat atas perkara-perkara yang mafsadat, akan memberi ruang kepada GHB untuk buktikan idealisme mereka.

Akan tetapi, sebaik sahaja GHB berubah haluan, menyimpang daripada perjuangan asal penubuhan, seperti mana penyakit yang menghinggapi banyak pemimpin-pemimpin parti veteran yang tidak celik sejarah, maka kami tidak teragak-agak untuk menarik kembali sokongan kami terhadap GHB.

GHB, kami rela jadi dalang penubuhan kalian. GHB, selamat maju jaya, tapi jangan lupa untuk berhati-hati menjaga hati kami.

Perkongsian Syahir Nujaba
21 Julai, 2015.


No comments:

KNOWLEDGE IS POWER

KNOWLEDGE IS POWER
DEAR-Drop Everything And Read

Ke Arah Pembentukkan Minda Pendidik Kelas Pertama

"Sejahtera akidahnya, sahih ibadahnya, teguh akhlaknya, terdidik fikirannya, kuat badannya, mampu untuk mengusahakan mata pencariannya, teratur dalam segala urusannya, sentiasa menjaga waktunya dan sentiasa memberi manfaat kepada orang lain" (As Syahid Imam Hasan al Banna)

Istimewanya zaman remaja...

Tujuh golongan manusia akan dilindungi oleh Allah pada hari di mana tidak ada perlindungan kecuali perlindunganNya iaitu:
1) Imam yang adil
2) Pemuda / remaja (lelaki & perempuan) yang tekun beribadat kepada Allah
3) Seorang lelaki yang hatinya terpaut kepada masjid, (hatinya sentiasa ingat) dari masa ia keluar dari masjid hingga ia balik semula ke masjid
4) Dua orang *lelaki yang berkasih-kasihan di dalam (mencari ridha) Allah, keduanya bertemu kerana Allah dan berpisah pula kerana Allah
5) Seorang *lelaki yang mengingati Allah, di masa sunyi sepi sehingga menitiskan air mata.
6) Seorang lelaki yang diajak oleh seorang wanita yang berkedudukan tinggi, cantik rupa parasnya untuk melakukan perbuatan jahat, ia berkata, "Aku takut kepada tuhan seluruh alam"
7) Seorang *lelaki yang memberi sedekah dengan suatu sedekah, lalu disembunyikan sedekah itu, sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfakkan oleh tangan kanannya.

Kita lah Ulil Albab...

"Lo! In the creation of the heaven and the earth and (in) the difference of night and day are tokens (of His sovereignity) for man of understanding"

"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan pengantian malam dan siang terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang berakal"

(Ali-Imran: 190)


"ILMU DAN IBADAH SESEORANG TIADA NILAI NYA DI SISI ALLAH DAN MANUSIA SEKIRANYA MEMBUAHKAN AKHLAK YANG BURUK"

Al-Zukhruf: 43-44

"Dengan yang demikian, berpegang teguhlah kepada Al-Quran yang telah diwahyukan kepadamu; kerana sesungguhnya engkau berada di atas jalan yang lurus. Dan sesungguhnya Al Quran itu memberikan kemuliaan dan peringatan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada kaummu; dan kamu akan ditanya kelak (tentang isi kandungannya yang kamu telah amalkan)."