
Tanggal 5 Januari 1987 merupakan detik keramat bagi saya. Mulai tarikh itulah, saya telah bergelar pendidik dan berusaha sebaik mungkin untuk menjadi guru berkesan sepanjang hayat. Bidang pendidikan bukan sahaja merupakan bidang kerjaya pilihan bahkan diharapkan dapat menyediakan medan untuk menabur saham akhirat dengan beramal bakti kepada anak bangsa. Lebih dua puluh tahun lamanya saya menimba pengalaman, menggarap kemahiran, terdedah kepada kepelbagaian persekitaran, sifat para pelajar serta rakan sekerja, tidak pernah jemu belajar daripada karenah birokrasi dan kerencaman struktur profesion perguruan di peringkat sekolah menengah. Kini saya berpeluang pula bertugas sebagai pensyarah sains di Institut Perguruan Ipoh, Perak (IPIP) sejak Julai 2002 dengan melatih para pelajar sebagai bakal guru permulaan. Perubahan laluan kerjaya saya kali ini telah meletakkan diri saya sebagai “Syifu” kepada para pelajar. Pengiktirafan kendiri yang cukup menghiburkan, memberikan kepuasan kerja dan peningkatan kualiti hidup. Kali ini saya bukan lagi mengajar murid-murid sekolah tetapi melatih para pelajar belia dan dewasa untuk menjadi insan guru.
Pengajaran yang seharusnya bersifat anjal tertakluk kepada olahan dan kebijaksanaan seorang pendidik. Sentiasa berhadapan dengan para pelajar yang berlainan pada suatu julat masa yang singkat, menuntut kepada perancangan dan persiapan yang strategik. Sebagai seorang pensyarah, saya mampu membantu pelajar-pelajar memberi makna dan membina persepsi positif terhadap pembelajaran melalui perkongsian matlamat keguruan yang jelas dan pengalaman perkhidmatan yang bernilai dalam suasana kuliah yang dinamik. Di bilik darjah atau bilik kuliahlah bermulanya segala sentuhan ajaib insaniah, penghayatan segala kemahiran dan manifestasi teori-teori pengajaran dan pembelajaran berlaku...
Bukan cerita khayalan, bukan kisah ideal yang dicedok daripada mana-mana sumber atau untuk mengiklankan kehebatan kendiri tetapi nukilan daripada sanubari yang bertujuan untuk perkongsian pengalaman dan ilmu pengetahuan yang sejati. Pengintergrasian teknologi pendidikan dan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran interaktif, aplikasi hasil kajian tindakan dan penekanan kepada kecerdasan intelektual (IQ), kecerdasan emosi (EQ) serta kecerdasan spiritual (SQ) di bilik kuliah merupa sumbangan kepada pembelajaran bermakna yang tidak mungkin diabaikan bagi melahirkan insan guru yang seimbang, berkualiti, kental, berketerampilan, cemerlang lagi mampu berdaya saing dalam era ledakan maklumat. Keadaan ini bertepatan dengan Falsafah Pendidikan Negara dan selari dengan PPIP, iaitu melahirkan takungan modal insan serta tenaga kerja yang kompeten pada masa hadapan bagi merealisasikan Wawasan 2020.