Saturday 26 July 2014

Semoga Peningkatan Taqwa Beriringan Dengan Pemergian Ramadhan...ameen





Bismillahirrahmanirrahim..

Kepada ahli-ahli IKRAM ... ..senyum sikit..

Assalamu'alaikum

Ramadan Kareem..

Saya melihat beberapa muhasabah keras dan terbuka oleh pimpinan Isma terhadap IKRAM antara lain adalah lantaran perbezaan kefahaman dan pendedahan (exposure) masing-masing dalam memahami nas dan waqi' berkaitan sistem demokrasi dan peranan gerakan masyarakat madani (civil society movement) dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Marilah kita mengambil sikap berlapang dada dengan muhasabah keras dan terbuka ini kerana ia lebih mendekatkan kita kepada sifat-sifat orang-orang yang beriman dan bertaqwa yang dengannya mudah-mudahan kita mendapat rahmat Allah swt. Mari kita tadabbur arahan dan saranan Allah swt dalam Surah Al-Hujurat terutama ayat 6 - 13.

Semasa PRU 13 dahulu, mereka mengharamkan umat Islam mengundi calon bukan Islam. Antara alasan utamanya adalah isu wala'. Antara hujahnya adalah mengundi calon bukan Islam bererti memberi wala' kepada orang kafir.

Namun apabila kita teliti lebih lanjut tafsiran tentang ayat yang digunakan bagi mengharamkan mengundi calon bukan Islam dan kita mendapatkan pandangan para ulama' yang kontemporari seperti Sheikh Dr Yusof Al Qaradhowi, ternyata tafsiran yang mengharamkan itu telah dibuat di luar konteks amalan sistem demokrasi di negara Malaysia dan negara-negara lain pada masa ini.

Kini dikatakan pula bahawa menyertai gerakan rakyat Negara-Ku adalah haram atau menyalahi tuntutan Islam. Antara hujah yang dibawa adalah kerana apabila menyertai Negara-Ku bererti kita berkawan dengan orang kafir dan musuh Islam dan ini membawa implikasi IKRAM memberi wala' kepada orang-orang kafir dan musuh-musuh Islam.

Sebenarnya, bagi kita, ia adalah sesuatu yang "non-issue", kerana penglibatan IKRAM dalam Negara-Ku adalah lanjutan kepada penglibatan kita dalam pelbagai gabungan masyarakat madani seperti Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan Bersih 2.0 yang mempunyai objektif yang jelas, iaitu bagi memansuhkan akta zalim ISA dan memperjuangkan pilihanraya yang bersih dan adil.

Manakala penglibatan dalam Negara-Ku adalah bagi memulihkan negara yang cuba dibawa oleh beberapa pihak ke arah persengketaan kaum dan perpecahan masyarakat, termasuk terdapat desakan untuk Sabah dan Sarawak keluar dari Persekutuan Malaysia. Jemput rujuk piagam (charter) Negara-Ku bagi memahami matlamat dan objektif gerakan rakyat Negara-Ku.

Dalam mana-mana gabungan, IKRAM terlibat berdasarkan objektif gabungan tersebut, yakni kita berjuang di dalam gabungan tersebut berdasarkan dasar dan matlamat gabungan tersebut. Umpamanya dalam GMI, kita komited memperjuangkan bagi memansuhan ISA dan membebaskan semua tahanan tanpa bicara.

Sehubungan dengan itu tidak seharusnya timbul isu wala' kepada mana-mana individu dalam gabungan dsb. Perjuangan adalah berasaskan piagam dan objektif gabungan.

Gerakan Islam harus keluar daripada kelompok orang Islam sahaja dan engage dengan semua kaum dan NGO termasuk NGO masyarakat madani. Kita hidup dalam masyarakat majmuk dan gerakan Islam tidak harus terpisah daripada kaum lain. "The Islamic movements need to engage with all Malaysians".

Dalam mesyuarat-mesyuarat bersama pelbagai gerakan Islam termasuk yang di luar negara, mereka memuji malah memberi galakan agar IKRAM terus memperhebatkan penglibatan dalam pergerakan masyarakat madani, memperjuangkan keadilan untuk seluruh masyarakat dan berusaha bersama-sama mewujudkan negara Malaysia yang lebih adil dan harmoni.

Maksud sebahagian daripada ayat 2, Surah Al Maidah berikut adalah antara panduan kita dalam penglibatan dalam pergerakan masyarakat madani:

"Dan janganlah sekali-kali kebencian(mu) kepada sesuatu kaum karena mereka menghalang-halangi kamu dari Masjidil Haram, mendorongmu berbuat aniaya (kepada mereka). Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya."

Ayat ini adalah contoh seruan ke arah manjadi du'at yang berjiwa besar yang diajar oleh Allah swt dan RasulNya saw. Meskipun ar-Rasul saw dihalang oleh kaum Quraisy daripada memasuki Masjidil Haram, Allah swt tetap mengingatkan RasulNya saw untuk tidak menganiaya, yakni berlaku adil kepada mereka. Berlaku adillah meskipun terhadap musuh kita. Itu adalah tuntutan Islam. Itu lah contoh du'at berjiwa besar yang perlu kita bangunkan dalam diri kita khususnya ahli-ahli IKRAM dan ahli-ahli gerakan Islam lainnya.

Kita mengajak agar lebih banyak gerakan dan NGO Islam untuk terlibat dalam gerakan masyarakat madani. Memperjuangkan keadilan adalah tuntutan penting dalam Islam.

Ahli-ahli IKRAM tidak harus terlibat dengan seruan-seruan ke arah perkauman sempit yang mengajak kepada kebencian antara kaum termasuk dengan menyatakan bahawa kaum Cina adalah penceroboh. Du'at perlu menjadi golongan yang mengajak kepada keluasan dan rahmat Islam, melewati bangsa dan etnik.

Contohilah qudwah Rasulullah saw yang sebut oleh Allah swt bahawa Baginda diutus sebagai rahmat bagi sekelian alam.

'Dan tidaklah kami utuskan engkau wahai Muhammad melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam'.
(Maksud Surah Al-Anbiya’, ayat 107)

Tadabburlah firman Allah swt berikut dengan hati yang ikhlas:

"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal".
(Maksud Surah al.Hujurat, ayat 13)

Ahli-ahli IKRAM dan para du'at tidak harus melihat semua atau sebahagian besar orang bukan Islam sebagai musuh dan harus diperangi. Keluarlah daripada "siege mentality" ini.

Mari kita menjadi du'at yang berjiwa besar, menjadi negarawan seperti mana yang diajar oleh manhaj Ikhwan Muslimin. Antara pesanan Murshid Am yang kedua Sheikh Hassan Hudhaiby: "Kita adalah pendakwah, bukan penghukum".

Ambillah Islam sebagai rahmat kepada seluruh alam.

Moga ahli-ahli IKRAM bersabar kerana kesabaran itu indah dan sebahagian daripada kecantikan akhlak seorang mukmin (fasabran jamil).

Berilah penjelasan dengan penuh bijaksana dan secara berpada-pada.

Mari kita bersabar dengan pelbagai tohmahan terutama di bulan Ramadan yang penuh barakah ini. Banyak pahala yang kita perolehi, insyaAllah.

Moga ahli-ahli IKRAM terus berpegang kepada pesanan Imam Hassan Al Banna bila berhadapan dengan sebarang tohmahan: "Jadilah kamu seperti pokok. Apabila dibaling batu, engkau membalasnya dengan buah yang ranum". Kata-kata ini mudah disebut tetapi amat sukar untuk dilaksanakan. Moga ahli-ahli IKRAM semuanya diberi kekuatan untuk menghayati pesanan ini.

Kita doakan moga kita terus dipandu dengan dasar-dasar yang bertepatan dengan syariat dan Perancangan IKRAM. Dasar-dasar yang dibuat oleh Ahli-ahli Dewan Perwakilan Nasional (DPN) yang terdiri daripada para alim ulama, cendekiawan dan pakar-pakar dalam pelbagai bidang: ekonomi, siasah syariah, fiqh dakwah, strategi, wanita dsb.

Selamat menyempurnakan Ramadan Mubarak.

Selamat menyambut 'Eidul Fitr...

Moga kita beroleh kemenangan dengan mendapat banyak pahala

Kullu 'aam wa antum bikhair.. teruskan dengan senyuman dan saling bermaafan sebagai tanda menyambut kemenangan melalui proses tarbiah sebulan bulan Ramadan.


Wassalam

Saudaramu

Hj Nahar Md Nor.
28 Ramadan 1435H

KNOWLEDGE IS POWER

KNOWLEDGE IS POWER
DEAR-Drop Everything And Read

Ke Arah Pembentukkan Minda Pendidik Kelas Pertama

"Sejahtera akidahnya, sahih ibadahnya, teguh akhlaknya, terdidik fikirannya, kuat badannya, mampu untuk mengusahakan mata pencariannya, teratur dalam segala urusannya, sentiasa menjaga waktunya dan sentiasa memberi manfaat kepada orang lain" (As Syahid Imam Hasan al Banna)

Istimewanya zaman remaja...

Tujuh golongan manusia akan dilindungi oleh Allah pada hari di mana tidak ada perlindungan kecuali perlindunganNya iaitu:
1) Imam yang adil
2) Pemuda / remaja (lelaki & perempuan) yang tekun beribadat kepada Allah
3) Seorang lelaki yang hatinya terpaut kepada masjid, (hatinya sentiasa ingat) dari masa ia keluar dari masjid hingga ia balik semula ke masjid
4) Dua orang *lelaki yang berkasih-kasihan di dalam (mencari ridha) Allah, keduanya bertemu kerana Allah dan berpisah pula kerana Allah
5) Seorang *lelaki yang mengingati Allah, di masa sunyi sepi sehingga menitiskan air mata.
6) Seorang lelaki yang diajak oleh seorang wanita yang berkedudukan tinggi, cantik rupa parasnya untuk melakukan perbuatan jahat, ia berkata, "Aku takut kepada tuhan seluruh alam"
7) Seorang *lelaki yang memberi sedekah dengan suatu sedekah, lalu disembunyikan sedekah itu, sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfakkan oleh tangan kanannya.

Kita lah Ulil Albab...

"Lo! In the creation of the heaven and the earth and (in) the difference of night and day are tokens (of His sovereignity) for man of understanding"

"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan pengantian malam dan siang terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang berakal"

(Ali-Imran: 190)


"ILMU DAN IBADAH SESEORANG TIADA NILAI NYA DI SISI ALLAH DAN MANUSIA SEKIRANYA MEMBUAHKAN AKHLAK YANG BURUK"

Al-Zukhruf: 43-44

"Dengan yang demikian, berpegang teguhlah kepada Al-Quran yang telah diwahyukan kepadamu; kerana sesungguhnya engkau berada di atas jalan yang lurus. Dan sesungguhnya Al Quran itu memberikan kemuliaan dan peringatan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada kaummu; dan kamu akan ditanya kelak (tentang isi kandungannya yang kamu telah amalkan)."