


Dewasa ini ramai yang menjadi jaguh internet untuk menyatakan tindakan IKRAM mengetuai gerakan Negara-ku adalah salah dari sudut syarak kerana bertahalluf dengan orang bukan Islam/kafir.
Anehnya, tidakkah mereka dapat melihat bahawa ini adalah salah satu pendekatan ikhlas Ikram untuk membawa orang bukan islam untuk mengenali Islam serta keindahan sistem dan perjuangannya? Tidakkah mereka melihat ini satu peluang dakwah kepada Ambiga dan pengikutnya seterusnya mengubah lanskap perjuangan mereka dari kepada kebebasan liberalisme kepada ketauhidan kepada Pencipta?
Ramai yang berkomentar akan IKRAM hakikatnya tidak pernah mengenali IKRAM secara dekat. Malah cuba memahami pendirian IKRAM pun tidak. Lebih kepada menembak peluru untuk memburukkan dan menjatuhkan lagi IKRAM. Tidakkah mereka melihat bahawa tembakan itu mengena diri mereka kembali.
Pada saya, prinsip dakwah Islam adalah penyatuan dan kesejahteraan. Dalam konteks masyarakat majmuk, kumpulan ISLAM harus berhikmah dalam menyatukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini agar bersetuju dengan pemerintahan Islam secara suka dan senang hati. Sehinggakan tidak ada ruang di mana pemerintahan Islam ini mendapat tentangan di saat berpeluang memegang tampuk pemerintahan. Usaha menerajui kumpulan Negara-Ku ini adalah salah satu usaha penyatuan dan kesefahaman. Terdapat 60 lebih NGO yang terlibat dan Ambiga hanyalah salah seorang darinya. Di saat pertubuhan lain mahu bersatu di atas dasar kesatuan dan keharmonian kenapa kita tidak menyambut baik usaha tersebut? Sedangkan Rasulullah sendiri pernah bekerjasama dengan kaum Yahudi di negara Madinah juga meminta bantuan bapa saudaranya Abu Talib di awal dakwah baginda.
Yang tidak boleh disokong jika sesebuah gerakan itu merugikan ISLAM dan menjatuhkannya. Jika IKRAM dilihat terlibat dalam hal itu, saya sebagai ahlinya adalah antara orang pertama yang akan menegur dan membangkangnya. Tak perlu orang luar untuk memberitahu dan menasihati.
Apa yang saya lihat, pimpinan IKRAM menyahut seruan dari Allah Taala:
"Dan tidak Kami utuskan engkau wahai Muhammad melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam" (al-Anbiya', ayat 107).
"Allah tidak menegah kamu dari berbuat baik dan berlaku adil (kepada orang-orang bukan Islam) yang tidak memerangi kamu kerana agama kamu dan tidak mengusir kamu dari tanah air kamu. Allah mengasihi orang-orang yang berlalu adil" (Surah al-Mumtahanah, ayat 8).
IKRAM mengambil langkah BEKERJASAMA dengan non-Muslim, bukan seperti yang dikatakan mengambil mereka sebagai teman baik dari sudut kepercayaan dan kasih sayang. Sungguh, tidak ada wala' melainkan wala' yang diberikan kepada Allah, Rasul dan orang mukmin. IKRAM berpegang teguh akan Al-Quran dan As-Sunnah serta sekali-kali tidak akan menggadaikan prinsip perjuangannya itu.
Atas dasar ini saya yakin, gerakan NEGARA-ku adalah salah satu usaha untuk menjadikan sistem Islam sebagai sebuah sistem pemerintahan yang diterima sepenuhnya oleh semua rakyat Malaysia dengan hati yang tenang dan redha, tanpa mengira bangsa dan agama.
Jika ada kaedah dan langkah lain untuk mencapai matlamat di atas, sila nyatakan. Bukan dengan menempelak dan memberi penerangan yang berat sebelah terhadap IKRAM. IKRAM tidak pernah melahirkan manusia yang mencerca, menfitnah dan menjatuhkan orang lain dari perut tarbiahnya. IKRAM sentiasa memperjuangkan keadilan, penyatuan dan kesejahteraan umat sejagat. Inilah prinsip Islam dan inilah prinsip yang saya yakin jemaah saya, IKRAM perjuangkan.
Benarlah sabda Nabi S.A.W yang bermaksud: "Jika ada seseorang berkata, "orang banyak (sekarang ini) sudah rosak, maka orang yang berkata itu sendiri yang paling rosak di antara mereka." (HR. Muslim)
Hamba Allah,
Dr Nur Aisyah Zainordin
Ahli Ikram Daerah Setiawangsa