Tuesday 28 July 2015

Lessons Learned, Unlearned & Relearn....



Kenyataan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
29 Julai 2015 bersamaan 13 Syawal 1436H

Rombakan Kabinet dan Pertukaran Peguam Negara Jejas Siasatan 1MDB

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) ingin melahirkan kegusaran mengenai tindakan Perdana Menteri melakukan rombakan kabinet terutamanya dengan melantik empat orang Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) sebagai Menteri dan Timbalan Menteri, termasuk Pengerusinya Datuk Nur Jazlan Mohamed sebagai Timbalan Menteri.

Rombakan ini beserta tindakan menamatkan perkhidmatan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail yang terlibat secara langsung mengetuai Pasukan Petugas Khas menyiasat dakwaan penyelewengan dana 1MDB amat membimbangkan.

Setiap kali bila dibangkitkan isu 1MDB, jawapan yang diberikan adalah agar kita tunggu siasatan tersebut selesai dijalankan. Termasuklah yang mutakhir, persoalan yang dibangkitkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa merasmikan Mesyuarat Agung UMNO Bahagian Cheras yang telah dijawab oleh Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan yang sekali lagi meminta agar rakyat menunggu hasil siasatan tersebut selesai dijalankan.

IKRAM berpandangan, tindakan-tindakan tersebut hanya menghakiskan lagi kredibiliti Perdana Menteri dan Kerajaan yang seterusnya akan menjejaskan lagi usaha mengembalikan kredibiliti dan maruah negara serta keyakinan para pelabur.

IKRAM mengharapkan agar segala tindakan yang ingin diambil perlu meletakkan kepentingan negara dan rakyat sebagai keutamaan.

Dengan ini, sekali lagi IKRAM mendesak agar ditubuhkan Suruhanjaya Diraja yang bertanggungjawab kepada Parlimen bagi menyiasat kes 1MDB.

Moga Allah s.w.t. memelihara dan menyelamatkan Malaysia daripada sebarang malapetaka yang lebih buruk.

Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia


Link: http://bit.ly/1SdRWt4

*******************************************************************************************************

JANGAN CARI JALAN YANG RUMIT

Apa Yang kita Mahukan; Negara Diurus Secara Telus Dan Amanah.

Tidak ada makna Pendekatan Wasatiyyah, Maqasid Syariah atau Perlaksanaan Hudud kalau sejumlah wang rakyat/negara hilang dan gagal disiasat.

Syariat Islam hilang kehebatannya jika diurus oleh orang yang tidak bertaqwa dan tidak amanah; hidup dalam sistem yang sangat kabur.

Sistem untuk siasatan telah gagal dan dirombak dalam keadaan yang sangat mencurigakan rakyat dan pihak istana? Kuasa Parlimen entah di mana?

Berikan peluang kepada PM untuk membuktikan beliau tidak bersalah dan wang itu masih ada dengan selamat; dengan pembentukan Suruhajaya Diraja yang bebas.

TAHNIAH kepada Tan Sri Muhyiddin Yasin kerana tegas cuba membela harta rakyat.

TAHNIAH kpd Dato Zahid Hamidi yang diberi kepercayaan.

TAHNIAH kepada Dato Dr Asyraf Wajdi yang masuk ke gelanggang yang sangat mencabar.

TAHNIAH kepada Dato Seri Najib Tun Abdul Razak yang sedia disiasat.......

Hasanuddin Mohd Yunus
Timbalan Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia

Tuesday 21 July 2015

Brilliant! Master Piece From A Thinker...Alhamdulillah





SIAPAKAH DALANG SEBENAR DI SEBALIK PENUBUHAN GERAKAN HARAPAN BARU?

Julai 2015 merupakan detik yang bersejarah bagi generasi yang lahir lewat 80-an hingga pertengahan 90-an.

Jika selama ini, setiap kali musim perayaan, kami hanya mendengar cerita daripada atuk-atuk serta ayah-ayah kami, kali ini kami berpeluang merasa sendiri pengalaman melalui sebuah perubahan lanskap politik negara secara besar-besaran.

Jika selama ini, mereka bercerita tentang British dan Jepun yang menjajah Tanah Melayu, kami hanya mampu dengar sahaja.

Jika selama ini mereka bercerita tentang perbezaan idealisme kemerdekaan antara Melayu-Raya dengan negara bangsa barasaskan sempadan geografi, kami hanya mampu dengar sahaja.

Jika selama ini mereka bercerita tentang pengunduran Tun Hussein Onn dari Umno disebabkan cubaan membentuk parti tanpa sempadan bangsa, kami hanya mampu dengar sahaja.

Jika selama ini mereka bercerita tentang pengasasan gerakan-gerakan Islam seperti IRC, Abim, Jim, Haluan, PAS, parti ini berpecah dengan parti itu, liciknya pemimpin ini, teruknya dizalimi pemimpin itu, kami hanya mampu dengar sahaja.

Kini tidak lagi. Gerakan Harapan Baru (GHB) yang terbentuk kali ini benar-benar berada di depan mata kami. Kami merasainya sendiri, mengkajinya sendiri, melihatnya sendiri. Inilah detik bersejarah yang bakal kami ceritakan kepada anak cucu kami kelak dengan penuh keyakinan, jika dibandingkan dengan cerita-cerita sebelah pihak daripada nenek dan ibu-ibu kami yang kami sendiri tidak dapat pastikan sejauh mana keabsahannya.

Kami lihat bagaimana berlakunya perubahan pendirian dalam kalangan senior kami yang dulunya sangat pesimis terhadap satu pihak, kini mula beransur terbuka. Bahkan kini kami masih melihat kelompok itu wujud nyata dalam generasi kami, paranoia tidak tentu hala, menunggu masa untuk bersikap lebih terbuka.

GHB yang ada di depan kami ini kami ikuti perkembangannya sejak dari mula. Hujahan pihak-pihak yang bersetuju dan tidak bersetuju kami dengar melalui rantaian maklumat premier. Sebahagian kami mendapat maklumat awal, sebahagian lagi masih terkejar-kejar dengan perkembangan yang berlaku. Sebahagian generasi kami sudah begitu yakin dengan pendirian mereka, sebahagian lagi masih bersikap "tunggu dan lihat".

Walau di pihak manapun kami sebelahi, kami adalah generasi yang hidup pada era ledakan maklumat. Kami mampu capai dan analisis lebih daripada sepuluh artikel berbeza pandangan dalam masa sehari. Kami lihat bagaimana sempitnya hidup beragama hinggakan kain hijau dan merah menjadi isu berat, songkok dan kopiah tidak boleh bertemu, janggut dan misai tidak pernah sehaluan, bukan Islam adalah najis, imam bendera merah menjadikan solat tidak sah, dan longgokan ayat-ayat Al-Quran yang dimanipulasi demi kepentingan politik.

Kami adalah generasi yang hidup pada zaman Dr. Asri Zainal Abidin menyedarkan kami beza antara hidup beragama dengan hidup bertuhan. Kami adalah generasi yang Dr. Zakir Naik menjadikan kami berani membuka helaian-helaian Bible tanpa merosakkan aqidah.

Kami adalah generasi yang Dr. Arifi sedarkan kami mengenai pertembungan global akhir zaman berdasarkan hadis-hadis fitan. Kami adalah generasi yang Rafizi Ramli sedarkan tentang kesan dan kepentingan kestabilan ekonomi negara. Kami adalah generasi yang Prof. Ahmad Ibrahim ajarkan bagaimana cara mendaulatkan syariah dalam sebuah negara berpelembagaan.

Kami adalah generasi yang Dr. Maszlee Malik kenalkan kami dengan formula politik tasarruf al-imam ‘ala ra’iyyah manutun bi al-maslahah, iaitu pentadbiran pemerintah mestilah berlandaskan kebaikan bagi masyarakat. Kami adalah generasi yang Ustaz Hasrizal Jamil sedarkan kami perbezaan berjuang untuk Islam dengan berjuang untuk parti dan Jemaah.

Kami adalah generasi yang ketika pemimpin tertinggi kami bertelagah, kami di bawah cuba merapatkan ukhuwwah. Kami adalah generasi ketika mana pemimpin nasional kami memutuskan hubungan diplomatik antara organisasi dan parti, kami pula bekerjasama menjayakan program-program di universiti.

Kami adalah generasi yang apabila kami melakukan program kesedaran beragama secara besar-besaran, kami jemput pelbagai gerakan Islam untuk santuni mad’u-mad’u ini agar diberikan tarbiyyah berasaskan usrah walaupun kami dari gerakan lain dan mereka dari gerakan lain. Kami adalah generasi yang berani mengkritik organisasi sendiri dan menerima kritikan orang luar terhadap organisasi kami.

Bukan itu sahaja, bahkan kami melihat generasi adik-adik kami lebih gemilang. Sesekali kami disoal mereka, adakah boleh mereka berkawan dengan pihak ini dan itu, gerakan ini dan itu. Kami kaku. Kaku memikirkan kisah-kisah buruk yang diceritakan senior-senior kami, dalam masa yang sama berat hati untuk menghasut mereka agar tidak bergaul setelah melihat kilauan mata mereka yang penuh dengan harapan. Harapan yang disebaliknya menyelubungi sekeping hati yang amat ingin hidup secara harmoni, berbeza pendapat secara sihat, dan tidak terikat dengan mainan persepsi.

Inilah generasi kami. Generasi yang sentiasa berharap dan akan terus berharap bagi generasi selepas kami. Kewujudan GHB ini hanyalah ‘kebetulan’ yang selari dengan harapan kami yang inginkan pembawakan Islam yang lebih inklusif dan progresif.

"Kebetulan" ini kami anggap sebagai peluang. Peluang untuk kami corakkan gerakan yang secocok dengan zaman kami. Kami tidak dibayar penentang GHB untuk melakukan kritikan murahan berbentuk serangan peribadi dan mainan persepsi sejarah yang tiada nilainya dalam dunia akademik.

Kami juga tidak ditaja GHB untuk mempromosi gerakan ini hanya semata-mata ingin taqlid kepada pimpinan pengasas GHB yang hebat-hebat. Tidak, kami tidak mahu buang masa untuk sesuatu yang tidak pasti. Tapi kami mahu habiskan masa kami untuk memastikan harapan baru ini membawa suara kami.

As-Siyadah lisy-Sya’ab : Ketuanan dipulangkan kepada masyarakat. Jika ini yang digalas GHB, maka kami selaku masyarakat yang amat mustahil bersepakat atas perkara-perkara yang mafsadat, akan memberi ruang kepada GHB untuk buktikan idealisme mereka.

Akan tetapi, sebaik sahaja GHB berubah haluan, menyimpang daripada perjuangan asal penubuhan, seperti mana penyakit yang menghinggapi banyak pemimpin-pemimpin parti veteran yang tidak celik sejarah, maka kami tidak teragak-agak untuk menarik kembali sokongan kami terhadap GHB.

GHB, kami rela jadi dalang penubuhan kalian. GHB, selamat maju jaya, tapi jangan lupa untuk berhati-hati menjaga hati kami.

Perkongsian Syahir Nujaba
21 Julai, 2015.


Sunday 19 July 2015

Untung La...Alhamdulillah



Assalamu’alaikum wbt.

Ikhwah dan akhawat ahli-ahli IKRAM yang dikasihi sekalian. Senyum bebanyak :) Ramadan Kareem

Menemui semua ahli-ahli IKRAM semoga semuanya sedang gigih mengambil peluang hari-hari terakhir Ramadan untuk melipatgandakan amalan pada bulan yang hanya tiba setahun sekali ini.

Ini adalah warkah kedua selepas warkah pertama yang dinukilkan juga pada hujung Ramadan, tahun lepas.

Nampaknya pada setiap Ramadan kita diuji dengan pelbagai ujian yang menuntut kesabaran yang amat tinggi. Pada Ramadan tahun lepas kita diuji dengan tohmhan terhadap Gerakan Rakyat Negara-Ku yang kita memainkan peranan penting bagi mengasaskannya.

Kita ditohmah bahawa kita telah memberi wala’ kepada orang kafir. Satu tohmahan yang amat serius yang orang berilmu tidak akan semudah itu menjatuhkan hukuman yang begitu berat kepada saudaranya.

Walau bagaimanapun, kami bersyukur kerana antum bertindak dengan matang setiap kali timbul fitnah begini. Antum kelihatan lebih tenang dan melakukan semakan-semakan (“tabayyun”) dengan bijaksana. Kita juga tidak membalas kata-kata keji dengan kejian juga. Alhamdulillah. Ini antara petanda kejayaan proses tarbiah kita yang semakin mantap dari masa ke semasa.

Kami juga bersyukur dengan berlipatkan gandanya amalan kita pada Ramadan kali ini. Sambutan yang sungguh hebat kepada program-program seperti Ijtimak Ramadan, 3R (Remaja/Rijal Raikan Ramadan), majlis-majlis tadarus di taman-taman dan daerah-daerah merupakan antara petanda yang baik.

Program kebajikan dan sumbangan serta menyantuni rakyat miskin, anak-anak yatim dan mereka yang memerlukan amat meluas sekali pada tahun ini: dari Perlis hingga ke Sabah. Tahniah kepada semua!

KETEGANGAN KAUM

Jika kita masih ingat, Negara-Ku diwujudkan dalam suasana terdapat pihak yang seolah-olah cuba menimbulkan ketegangan dan konflik perkauman dengan menuduh kaum Cina sebagai penceroboh dan meminta kaum Cina keluar dari Negera Malaysia.

Beberapa kalangan dari kaum Cina telah bertindak balas dan terjadi suasana yang agak tegang ketika itu. Pada masa yang sama terdapat elemen yang mendesak agar Sabah dan Sarawak keluar daripada Malaysia.

Dalam suasana begitulah, sekumpulan rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum dan latar belakang telah mengambil inisiatif menubuhkan Gerakan Rakyat Negara-Ku bertujuan untuk menghentikan seruan-seruan perkauman sempit dan mengajak rakyat Malaysia untuk kembali mendokong Perlembagaan Malaysia, Perjanjian Malaysia dan Rukun Negara.

Alhamdulillah, ketegangan yang wujud pada masa itu dapat dikendurkan dan negara terselamat dari terjerumus ke dalam konflik perkauman.

Namun, pada Ramadan tahun ini konflik perkauman sekali lagi hampir tercetus atas peristiwa di Low Yat. Kejadian yang disebut oleh pihak polis sebagai kesalahan mencuri telah cuba dijadikan ia sebagai peristiwa Cina vs Melayu. Pejuang perkauman sempit akan sentiasa mengintai untuk mengeksploitasi apa sahaja peristiwa bagi menjadikannya isu perkauman… Daripada isu makan dalam talam sehinggalah kepada isu kecurian di Low Yat.

IKRAM akan sentiasa menjadi pihak yang akan berusaha untuk memastikan Malaysia menjadi negara yang aman dan sejahtera kerana itulah pendekatan yang diambil oleh Rasulullah s.a.w., sentiasa menganjurkan keamanan dan menolak usaha bagi menimbulkan pergaduhan. Islam haruslah menjadi agama yang menyeru kepada rahmat untuk seluruh alam selari dengan misi pengutusan Rasulullah s.a.w:

“Dan tiadalah kami mengutus kamu (Wahai Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi seluruh alam.” (Al-Anbiaa’: 107)

USAHA DAKWAH DAN HIDAYAH CENTRE FOUNDATION (HCF)

Satu lagi fitnah yang timbul pada Ramadan kali ini adalah apabila Hidayah Centre menjemput beberapa orang tokoh masyarakat bukan Islam untuk turut hadir ke Majlis Iftar Perdana Hidayah Centre. Kehadiran Datuk Ambiga dan YB Tian Chua ke majlis tersebut sebagai tetamu telah ditohmah sebagai mengagungkan orang kafir dan memberi kedudukan yang tidak sewajarnya kepada musuh Islam.

Ambiga telah hadir dari awal bagi mengikuti sesi forum bersama Ustaz Dr Zaharuddin Abdul Rahman Ustaz Fitri Abdullah dan Dr Nur Athiroh. Rakaman penuh forum tersebut boleh ditonton di sini:

http://ikram.org.my/domain/sub/projek/tv/trial/index.php/player/11/251

Inilah bezanya fikrah dan pendekatan kita. Kita sentiasa memakai “topi dakwah” sebelum memakai topi-topi lain. Manakala yang mudah menghukum biasanya memakai “topi hakim” dan penghukum.

Ini selari dengan Misi IKRAM yang pertama yang menyebut:

“Melaksanakan dakwah dalam usaha meyakinkan masyarakat bahawa Islam adalah satu-satunya sistem hidup yang mampu menyelesaikan semua permasalahan.”

Juga kita berpegang kepada ayat Al-Quran, Surah An-Nahl ayat 125 yang bermaksud:

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”

Tugas kita adalah mengajak manusia kepada Islam dengan uslub yang sebijaksana mungkin. Tugas kita adalah untuk meng “in” kan manusia ke dalam Islam dan bukan untuk meng “out” kan manusia. Tugas untuk meng “out” manusia memang mudah dan kita tidak mengambil pendekatan yang mudah itu.

IKRAM, IRC DAN LAIN-LAIN

Satu lagi fitnah yang agak berleluasa pada Ramadan kali ini adalah berkaitan isu IRC, HIS, JIM, IKRAM. Kita jangkakan isu ini hanya bersemarak ketika kempen pemilihan parti seperti yang berlaku saban kali ada pemilihan tersebut. Namun nampaknya ia telah melimpah dan mencemarkan bulan Ramadan yang penuh rahmah dan berkat ini.

Dengan maklumat yang terhad dan andaian-andaian yang diada-adakan, isu ini telah diolah bagi memecah belahkan saf perjuangan Islam. Entah berapa kali kertas yang telah ditolak itu dikitar semula. IKRAM cuba digambarkan sebagai jamaah jahat yang cuba merosakkan parti dan organisasi lain.

Umpamanya dalam kes YB Saari Sungib dan YB Hasnol Baharudin, cuba digambarkan bahawa itu semua adalah dirancang dan ‘orchestrated” oleh IKRAM. Sebagai SUA IKRAM, saya ingin menafikan dengan sekeras-kerasnya tuduhan dan fitnah jahat tersebut.

Saya ingin sarankan kepada yang membuat tuduhan tersebut untuk merujuk kepada surat daripada YB Saari kepada Majlis Syura Ulama PAS bagi menjawab surat tunjuk sebab yang dihantar kepadanya.

Dalam surat tersebut, ditulis dengan sangat jelas dan terperinci rasional dan sebab-sebab tindakan yang telah diambil. Mari kita sarankan kepada semua pimpinan gerakan Islam agar kita terus bergerak ke hadapan (“move forward”) dalam dunia dakwah dan siasah di negara ini bagi mebangunkan masyarakat dan negara dengan saling hormat menghormati dan bekerjasama dalam perkara yang boleh disepakati dan saling maaf memaafkan dan bertolak ansur dalam perkara yang tidak dapat kita sepakati seperti yang dipesan oleh Asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna.

IKRAM DAN PARTI BARU

Ikhwah dan akhawat yang dikasihi sekalian.

Pendirian kita tentang kepentingan mewujudkan sistem dwi parti telah diperjelaskan banyak kali. Dalam sistem demokrasi terutamanya yang mengamalkan sistem “first past the post” kewujudan system dwi parti amat penting. Ia membolehkan proses “semak dan imbang” dapat berlaku dengan berkesan dan akan banyak menguntungkan rakyat.

Buktinya telah jelas kita lihat semasa dan selepas PRU-12 dan PRU-13 di mana pihak pemerintah lebih mementingkan kepentingan rakyat dan tidak berbuat sesuka hati yang boleh merugikan negara dan rakyat.

Sebab itu apabila sistem dwi parti yang telah agak kukuh ini tergugat kita melahirkan kerisauan kita. Dengan sebab itu apabila terdapat usaha bagi mengukuhkan kembali sistem dwi parti ini, kita amat mengalu-alukannya. Insya-Allah, akan ada ahli-ahli kita yang berkemampuan dan punyai minat yang akan terlibat secara langsung dalam proses ini.

Adapun IKRAM sebagai sebuah gerakan Islam dan NGO Islam akan meneruskan malah memperhebatkan, insyaAllah, usaha-usaha dalam bidang Dakwah, Tarbiah dan Kebajikan yang banyak telah kita lakukan semenjak IKRAM ditubuhkan lima tahun dahulu.

Manakala ahli-ahli IKRAM yang akan terlibat dalam parti baru yang akan ditubuhkan akan diminta melepaskan jawatan-jawatan eksekutif dalam IKRAM agar tidak berlaku sebarang “conflict of interest” nanti.

Juga marilah kita aminkan munajat Ustaz Hasrizal seperti yang dinukilkan di FB beliau:

“Menubuhkan parti baru ini memang bukan pilihan terbaik. Ada banyak hujah untuk langkah ini diperlekeh sama ada dalam bahasa jurnalis mahu pun akademik. Tetapi krisis PAS tidak meninggalkan banyak pilihan.

Justeru, kuatkan azam, bangkitlah biar pun dalam seribu kepayahan, dengan semangat inklusif itu, ramai saudara Islam dalam pelbagai NGO, insya-Allah akan bersama. Non-Muslim juga disantuni dengan akhlaq dan perkongsian pendidikan.

Mencela ‘kuffar’ itu sikapnya seolah-olah kita tiada tanggungjawab dakwah ke atas mereka.

Hulurkan salam persaudaraan dan persahabatan.
Sesungguhnya itulah munajatku di penghujung Ramadan ini.”

SALAM ‘EIDUL FITRI

Akhirnya saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya ‘Eidul Fitri kepada semua. Moga Allah swt menerima segala amalan kita sepanjang bulan Ramadan dan berjaya meningkatkan darjat ketaqwaan kita… Mohon maaf atas segala kesilapan, kelemahan dan kekurangan. Mari kita sama-sama berdoa agar Allah s.w.t. memberi kita kekuatan, menyatukan hati-hati kita bagi meneruskan usaha bagi menegakkan kebenaran dan keadilan ini.

Hanya Allah s.w.t. yang dapat membantu kita bagi melaksanakan tugas yang berat ini. Kita doakan agar kita terus istiqamah agar kita semua menemui Pencipta kita dalam keadaan masih berjuang dan berjihad pada jalan Allah seperti yang kita sering ungkapkan dalam Doa Rabithah kita.

Kullu 'aam wa antum bikhair...
Teruskan dengan senyuman dan saling bermaafan sebagai tanda menyambut kemenangan setelah melalui madrasah tarbiah sebulan bulan Ramadan.

Kepada Allah kita bertawakkal dan berserah.

Wassalam

Daripada SUA antum

Hj Nahar Md Nor

29 Ramadan 1436H
15 Julai 2015M

KNOWLEDGE IS POWER

KNOWLEDGE IS POWER
DEAR-Drop Everything And Read

Ke Arah Pembentukkan Minda Pendidik Kelas Pertama

"Sejahtera akidahnya, sahih ibadahnya, teguh akhlaknya, terdidik fikirannya, kuat badannya, mampu untuk mengusahakan mata pencariannya, teratur dalam segala urusannya, sentiasa menjaga waktunya dan sentiasa memberi manfaat kepada orang lain" (As Syahid Imam Hasan al Banna)

Istimewanya zaman remaja...

Tujuh golongan manusia akan dilindungi oleh Allah pada hari di mana tidak ada perlindungan kecuali perlindunganNya iaitu:
1) Imam yang adil
2) Pemuda / remaja (lelaki & perempuan) yang tekun beribadat kepada Allah
3) Seorang lelaki yang hatinya terpaut kepada masjid, (hatinya sentiasa ingat) dari masa ia keluar dari masjid hingga ia balik semula ke masjid
4) Dua orang *lelaki yang berkasih-kasihan di dalam (mencari ridha) Allah, keduanya bertemu kerana Allah dan berpisah pula kerana Allah
5) Seorang *lelaki yang mengingati Allah, di masa sunyi sepi sehingga menitiskan air mata.
6) Seorang lelaki yang diajak oleh seorang wanita yang berkedudukan tinggi, cantik rupa parasnya untuk melakukan perbuatan jahat, ia berkata, "Aku takut kepada tuhan seluruh alam"
7) Seorang *lelaki yang memberi sedekah dengan suatu sedekah, lalu disembunyikan sedekah itu, sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfakkan oleh tangan kanannya.

Kita lah Ulil Albab...

"Lo! In the creation of the heaven and the earth and (in) the difference of night and day are tokens (of His sovereignity) for man of understanding"

"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan pengantian malam dan siang terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang berakal"

(Ali-Imran: 190)


"ILMU DAN IBADAH SESEORANG TIADA NILAI NYA DI SISI ALLAH DAN MANUSIA SEKIRANYA MEMBUAHKAN AKHLAK YANG BURUK"

Al-Zukhruf: 43-44

"Dengan yang demikian, berpegang teguhlah kepada Al-Quran yang telah diwahyukan kepadamu; kerana sesungguhnya engkau berada di atas jalan yang lurus. Dan sesungguhnya Al Quran itu memberikan kemuliaan dan peringatan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada kaummu; dan kamu akan ditanya kelak (tentang isi kandungannya yang kamu telah amalkan)."