

KENYATAAN MEDIA IKRAM Siswa
20 April 2014 bersamaan 20 Jamadilakhir 1435H
"Teruskan Berdakwah, Pengakhiran Seseorang Biar Allah yang Tentukan"
Pemergian mendiang Karpal Singh, seorang Tokoh Politik dan Undang-Undang tanah air baru-baru ini telah menarik perhatian IKRAM Siswa untuk menyeru semua lapisan umat Islam untuk sama-sama insaf serta terus menggiatkan aktiviti dakwah kepada yang belum Islam dengan lebih intensif dan efektif.
Peristiwa seperti ini sepatutnya menjadi muhasabah bahawa umat Islam di Malaysia masih belum mampu menarik minat masyarakat belum Islam untuk mendekati dan menghayati Islam sebagai sebuah tatacara hidup yang paling sempurna.
IKRAM Siswa berpandangan bahawa masyarakat tidak perlu diheret panjang tentang persoalan destinasi pengakhiran beliau di akhirat kelak. Biarlah ianya diserahkan sepenuhnya kepada Allah selaku Tuhan yang Maha Adil dan Bijaksana kerana sesungguhnya Allah lebih mengetahui perkara yang manusia tidak ketahui.
Dalam kesempatan ini, IKRAM Siswa juga ingin menyampaikan ucapan Takziah kepada keluarga mendiang.
Wallahu a'lam
Marwan bin Abdullah
Presiden
IKRAM Siswa Nasiona
HORMATI JENAZAH DAN TUNJUKKAN NILAI BAIK ISLAM
"Dalam hadis disebut:
إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّتْ بِهِ جَنَازَةٌ فَقَامَ فَقِيلَ إِنَّهُ يَهُودِيٌّ فَقَالَ أَلَيْسَتْ نَفْسًا
Maksudnya: “Sesungguhnya telah lalu di hadapan Nabi s.a.w satu jenazah, lalu baginda bangun (untuk menghormati). Lalu diberitahu kepada baginda: “Itu jenazah seorang yahudi”. Baginda bersabda: “Tidakkah ia juga jiwa (insan)?” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Inilah ketinggian akhlak dan budi yang menjadikan Islam itu dihormati. Kegagalan untuk menampilkan akhlak yang baik inilah yang menimbulkan prasangka manusia terhadap Islam dan sekaligus mereka membenci penganutnya.
Seseorang non-muslim yang menolak sesuatu berkaitan Islam hendaklah diselidiki apakah dia membenci Islam ataupun dia membenci versi atau tafsiran Islam yang dibawa oleh pihak tertentu. Persis seperti seorang muslim yang menolak cakap seseorang tokoh agama, apakah dia menolak Islam ataupun menolak pendekatan yang dibawa oleh tokoh berkenaan. Jika seseorang memusuhi agama Islam itu sendiri maka dia memanglah musuh Islam. Itupun memerlukan ‘iqamah al-Hujjah’ yang bererti penjelasan mengenai Islam yang kukuh dan penuh hujah yang jitu telah dibentangkan kepadanya. Jika dia menolak tafsiran Islam yang dibuat oleh pihak tertentu, bukanlah semestinya dia membenci Islam.
Saya tidak tahu hakikat YB Karpal Singh, namun nama atas akhlak Islam yang mulia, saya ucapkan takziah kepada kaum keluarganya. Semoga Allah memberikan gantian dan keadaan yang lebih baik untuk mereka. Islam ini kebaikannya untuk semua."
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Mantan Mufti Perlis