Thursday 14 May 2015

Murabbi & Murabbiah Yang Soleh Wa Musleh....



Perutusan : Sempena Hari Murabbi IKRAM-MUSLEH
16hb Mei 2015

MEMBINA ILMU MENYEMPURNA AKHLAK



بسم الله والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن تبع هداه وبعد ،

Kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat ilahi azza wajalla di atas segala inayah wal hidayah wat taufiq-Nya s.w.t. ke atas kita sehingga kini. Kita amat bersyukur kepada Allah s.w.t. dan mendoakan moga-moga perjalanan Majlis ini diberkati-Nya – amiin.

Guru-guru dan murabbi yang dikasihi,

Menjelangnya 16 Mei 2015, kita sekali lagi diberi oleh Allah peluang untuk meraikan semua murabbi dalam hidup kita, bagi menyatakan penghargaan kita kepada mereka yang telah mendidik kita sehingga terbentuk diri kita sekarang.

Hari Murabbi kita tahun ini bertemakan “Membina Ilmu Menyempurna Akhlak”

Saya ingin mengambil peluang ini khususnya untuk menyampaikan ucapan terima kasih tidak terhingga dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua warga murabbi sekolah rangkaian IKRAM MUSLEH, kerana masih cekal gigih serta sabar untuk bersama memperjuangkan wawasan dan misi pendidikan kita, bagi melahirkan generasi rabbani yang sangat di dambakan oleh ummat, negara dan juga dunia, lebih-lebih lagi dalam keadaan dunia yang semakin tidak sejahtera.

Sesungguhnya tugas ini sangat berat dan sesiapa yang memahami maksudnya tentu akan merasa tidak terpikul akan beban dan tanggung jawab ini. Tambahan pula, mengambil kira keadaan sekolah-sekolah kita secara umumnya, tugas ini perlu dilaksanakan dalam keadaan yang serba kekurangan.

Namun ianya tidak menjadi halangan kepada para murabbi kita melakukan yang terbaik, bahkan mungkin itulah pendorongnya untuk sentiasa bermujahadah, dengan tiada keluh kesah, bahkan dengan penuh keikhlasan.

Kerana kita yakin akan janji Allah dalam Surah Al Anfal: 74, yang bermaksud:

“Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dijalan Allah……merekalah orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia.”

Ya , kita yakin bahawa kita, para murabbi IKRAM MUSLEH adalah sentiasa dalam keadaan berjihad, dan dengan itu Allah akan melimpahkan keampunan dan rezeki kepada kita, kerana sesungguhnya seluruh alam dan isinya hanyalah kepunyaan Allah swt. Dan diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Para murabbi yang dimuliakan Allah swt,

Rasulullah saw telah menunjukkan kepada kita model pendidikan yang sangat berharga. Rasulullah saw mengislahkan masyarakat melalui dalil naqli dan aqli, menyampaikan ilmu serta membentuk pemikiran. Metodologi ini telah berjaya membentuk masyarakat ke arah pencapaian kehidupan yang lebih baik dan sempurna, di mana Rasulullah s.a.w menghapuskan kesan kepercayaan, nilai, budaya dan kefahaman arab jahiliyyah.

Firman Allah dalam Surah al-Jumu’ah : 2 bermaksud:

“ Dia-lah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah (As Sunnah). Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata”

Inilah peranan pendidik yang amat penting, iaitu peranan sebagai muallim. Pendidik sebagai muallim boleh didefinasikan sebagai mengajar atau menyampaikan ilmu dan mengamalkan apa yang disampaikan di samping berusaha menambah ilmu pengetahuan. Muallim menyampaikan ilmu kerana rasa belas kasihan kepada pelajar dan ingin melindungi mereka dari kepayahan hidup didunia dan seksaan api neraka, dan bukan kerana rasa sombong dengan ilmu yang ada di dada.

Walau bagaimanapun, harus di ingat bahawa penyampaian ilmu pengetahuan sangat berbeza dengan memberi maklumat. Perpindahan ilmu kepada para anak didik perlu di buat secara berperingkat, di bina dari satu tahap kepada satu tahap yang berikutnya, agar difahami dengan baik dan dapat di taakul dan buat penilaian dan pertimbangan terhadap ilmu berkenaan.

Pembinaan ilmu ini haruslah ditalakan kepada pembinaan keimanan kepada Allah swt, kepada keyakinan akan Hari Pembalasan dimana setiap amal soleh atau dosa tetap akan mendapat balasan yang adil dan setimpal. Bertitik tolak dari sinilah, ilmu yang di sampaikan akan dihayati oleh anak didik dalam seluruh kehidupannya, sama ada dalam kehidupan peribadi mahupun sebagai anggota masyarakat, kerana ingin mengejar kesejahteraan hidup yang dijanjikan oleh Allah di dunia dan kenikmatan yang tidak terhingga di dalam syurga firdaus.

Tentulah hal ini sangat berbeza dengan sekadar perpindahan ilmu dari seorang guru kepada pelajarnya. Perpindahan ilmu hanyalah sekadar memberi maklumat yang bakal dikumpulkan oleh pelajar dan di keluarkan kembali sewaktu ujian dan peperiksaan. Ianya tidak membentuk dan mengislahkan diri pelajar ke arah yang yang lebih baik.

Justeru kita telah bangunkan elemen Akidah Merentas Kurikulum (AMK) dalam kurikulum kebangsaan dan elemen Penghayatan dalam Sukatan Pelajaran Ilmu Syariah IKRAM MUSLEH. Perkara-perkara ini adalah untuk membantu memastikan segala ilmu yang di pelajari oleh anak didik kita akan terurus secara sedar dan sistematik untuk membangunkan akidah dan mengislahkan mereka. Oleh itu, Saya berharap semua warga pendidik IKRAM MUSLEH mengambil berat akan perkara ini dan cuba memperbaiki pelaksanaannya agar bertambah baik dari masa ke semasa.

Para murabbi yang dimuliakan Allah swt,

Dalam konteks ini, kita harus menekankan juga peranan seorang pendidik sebagai seorang muaddib.

Ayat 2 Surah al-Jumu’ah yang dibacakan tadi menjelaskan bahwa Nabi Muhammad SAW. diutus oleh Allah SWT. kepada umatnya untuk menanamkan ilmu sekaligus mensucikan jiwa mereka. Rasulullah telah membersihkan umat jahiliyah dari sifat-sifat buruk yang merupakan kebiasaan sebagian besar masyarakat Makkah pada masa itu, seperti syirik, dengki, takabur, tamak, pemabuk, merampas hak orang lain, membunuh anak perempuan dan lain-lain akhlak tercela.

Peranan guru sebagai seorang muaddib bermaksud mendidik dan membangunkan akhlak dan perilaku yang mulia. Muaddib merupakan individu yang bertanggungjawab dan melaksanakan pendidikan peradaban dalam pengertian yang luas dan mendalam terhadap peribadi dan kehidupan pelajar, memanusiakan manusia, ke arah pembentukan insan kamil.
Dalam konteks ini, pendidikan yang paling berkesan ialah pendidikan melalui teladan. Malahan Imam Al-Ghazali amat menekankan agar akhlak seorang guru atau pendidik itu perlulah sesuai dengan ajaran yang di ajar kepada para pelajarnya. Di dalam Ihya’ Ulumuddin, beliau turut membandingkan perumpamaan guru dengan anak muridnya ibarat tongkat dengan bayang-bayang kerana menurutnya “ bagaimanakah caranya untuk kita mendapatkan bayang-bayang yang lurus sekiranya tongkat tersebut telah bengkok?”.

Seorang pendidik tidak dapat mendidik murid-muridnya dengan sifat mulia kecuali apabila dia sendiri memiliki sifat yang mulia ini, dan ia tidak dapat memperbaiki anak didiknya, kecuali apabila dia sendiri berusaha menjadi seorang yang soleh, karena murid-murid akan mengambil teladan perilakunya lebih banyak dari pada mengambil kata-katanya.

Akhir kata, saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan Selamat hari Murabbi kepada semua pendidik, serta ibubapa, yang juga merupakan murabbi di dalam keluarga masing-masing.

Marilah sama-sama kita meneruskan langkah usaha kita ini dengan doa seperti dalam Surah al Baqarah : 250, yang bermaksud,

“Dan apabila mereka (orang yang beriman) keluar menentang Jalut dan tenteranya, mereka berdoa dengan berkata wahai Tuhan kami, limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami…”.

Moga-moga Allah swt memberkati sambutan Hari Murabbi tahun ini. Moga-moga hasrat dan impian kita untuk melahirkan generasi rabani, generasi yang akan memimpin ummah akan tercapai.

Selamat Menyambut Hari Murabbi IKRAM-MUSLEH 2015.

“Membina Ilmu Menyempurna Akhlak”


Profesor Dr Omar bin Yaakob
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Monday 4 May 2015

i-teach...

"The Prophet (S.A.W.)came across two assemblies in his mosque and said, "Both of them are good, but one is better. As for these (engaged in Allah's remembrance) they call to Allah and pray for His help;if He wills, He aids them, and if He wills, He denies them aid. As for the other group, they engage in learning and teaching others. Therefore they are better than the first group. I have been sent as a teacher". After saying that, he sat down among the later group."

Hadis narrated by Ad-Darimi







KNOWLEDGE IS POWER

KNOWLEDGE IS POWER
DEAR-Drop Everything And Read

Ke Arah Pembentukkan Minda Pendidik Kelas Pertama

"Sejahtera akidahnya, sahih ibadahnya, teguh akhlaknya, terdidik fikirannya, kuat badannya, mampu untuk mengusahakan mata pencariannya, teratur dalam segala urusannya, sentiasa menjaga waktunya dan sentiasa memberi manfaat kepada orang lain" (As Syahid Imam Hasan al Banna)

Istimewanya zaman remaja...

Tujuh golongan manusia akan dilindungi oleh Allah pada hari di mana tidak ada perlindungan kecuali perlindunganNya iaitu:
1) Imam yang adil
2) Pemuda / remaja (lelaki & perempuan) yang tekun beribadat kepada Allah
3) Seorang lelaki yang hatinya terpaut kepada masjid, (hatinya sentiasa ingat) dari masa ia keluar dari masjid hingga ia balik semula ke masjid
4) Dua orang *lelaki yang berkasih-kasihan di dalam (mencari ridha) Allah, keduanya bertemu kerana Allah dan berpisah pula kerana Allah
5) Seorang *lelaki yang mengingati Allah, di masa sunyi sepi sehingga menitiskan air mata.
6) Seorang lelaki yang diajak oleh seorang wanita yang berkedudukan tinggi, cantik rupa parasnya untuk melakukan perbuatan jahat, ia berkata, "Aku takut kepada tuhan seluruh alam"
7) Seorang *lelaki yang memberi sedekah dengan suatu sedekah, lalu disembunyikan sedekah itu, sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfakkan oleh tangan kanannya.

Kita lah Ulil Albab...

"Lo! In the creation of the heaven and the earth and (in) the difference of night and day are tokens (of His sovereignity) for man of understanding"

"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan pengantian malam dan siang terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang berakal"

(Ali-Imran: 190)


"ILMU DAN IBADAH SESEORANG TIADA NILAI NYA DI SISI ALLAH DAN MANUSIA SEKIRANYA MEMBUAHKAN AKHLAK YANG BURUK"

Al-Zukhruf: 43-44

"Dengan yang demikian, berpegang teguhlah kepada Al-Quran yang telah diwahyukan kepadamu; kerana sesungguhnya engkau berada di atas jalan yang lurus. Dan sesungguhnya Al Quran itu memberikan kemuliaan dan peringatan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada kaummu; dan kamu akan ditanya kelak (tentang isi kandungannya yang kamu telah amalkan)."