
Kenyataan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
29 Julai 2015 bersamaan 13 Syawal 1436H
Rombakan Kabinet dan Pertukaran Peguam Negara Jejas Siasatan 1MDB
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) ingin melahirkan kegusaran mengenai tindakan Perdana Menteri melakukan rombakan kabinet terutamanya dengan melantik empat orang Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) sebagai Menteri dan Timbalan Menteri, termasuk Pengerusinya Datuk Nur Jazlan Mohamed sebagai Timbalan Menteri.
Rombakan ini beserta tindakan menamatkan perkhidmatan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail yang terlibat secara langsung mengetuai Pasukan Petugas Khas menyiasat dakwaan penyelewengan dana 1MDB amat membimbangkan.
Setiap kali bila dibangkitkan isu 1MDB, jawapan yang diberikan adalah agar kita tunggu siasatan tersebut selesai dijalankan. Termasuklah yang mutakhir, persoalan yang dibangkitkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa merasmikan Mesyuarat Agung UMNO Bahagian Cheras yang telah dijawab oleh Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan yang sekali lagi meminta agar rakyat menunggu hasil siasatan tersebut selesai dijalankan.
IKRAM berpandangan, tindakan-tindakan tersebut hanya menghakiskan lagi kredibiliti Perdana Menteri dan Kerajaan yang seterusnya akan menjejaskan lagi usaha mengembalikan kredibiliti dan maruah negara serta keyakinan para pelabur.
IKRAM mengharapkan agar segala tindakan yang ingin diambil perlu meletakkan kepentingan negara dan rakyat sebagai keutamaan.
Dengan ini, sekali lagi IKRAM mendesak agar ditubuhkan Suruhanjaya Diraja yang bertanggungjawab kepada Parlimen bagi menyiasat kes 1MDB.
Moga Allah s.w.t. memelihara dan menyelamatkan Malaysia daripada sebarang malapetaka yang lebih buruk.
Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Link: http://bit.ly/1SdRWt4
*******************************************************************************************************
JANGAN CARI JALAN YANG RUMIT
Apa Yang kita Mahukan; Negara Diurus Secara Telus Dan Amanah.
Tidak ada makna Pendekatan Wasatiyyah, Maqasid Syariah atau Perlaksanaan Hudud kalau sejumlah wang rakyat/negara hilang dan gagal disiasat.
Syariat Islam hilang kehebatannya jika diurus oleh orang yang tidak bertaqwa dan tidak amanah; hidup dalam sistem yang sangat kabur.
Sistem untuk siasatan telah gagal dan dirombak dalam keadaan yang sangat mencurigakan rakyat dan pihak istana? Kuasa Parlimen entah di mana?
Berikan peluang kepada PM untuk membuktikan beliau tidak bersalah dan wang itu masih ada dengan selamat; dengan pembentukan Suruhajaya Diraja yang bebas.
TAHNIAH kepada Tan Sri Muhyiddin Yasin kerana tegas cuba membela harta rakyat.
TAHNIAH kpd Dato Zahid Hamidi yang diberi kepercayaan.
TAHNIAH kepada Dato Dr Asyraf Wajdi yang masuk ke gelanggang yang sangat mencabar.
TAHNIAH kepada Dato Seri Najib Tun Abdul Razak yang sedia disiasat.......
Hasanuddin Mohd Yunus
Timbalan Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia
No comments:
Post a Comment